PDRM nafi dakwaan mangsa banjir diminta bayar wang perlindungan

0
22
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan yang menjadi tular di media sosial bahawa penduduk Taman Sri Muda diminta membayar wang perlindungan sebanyak RM100 bagi mengelak kenderaan mereka yang terkandas dirosakkan oleh individu tidak dikenali.

Portal Malaysia Gazette melaporkan, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di laman Facebook yang menggunakan nama ‘Projek Pokok’ yang tular sejak semalam berhubung perkara itu.

Katanya, pasukan Cantas Banjir yang ditubuhkan telah ke lokasi yang didakwa di Jalan Bakti Tiga 25/15C, Taman Sri Muda dan mendapatkan maklumat daripada tetangga di lorong berkenaan.

“Kita dapati tiada insiden sedemikian berlaku, tiada kejadian jenayah dan juga laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan isu ini.

“Pihak IPD Shah Alam juga telah meminta pemilik Facebook Projek Pokok itu untuk hadir memberikan maklumat lanjut, namun sehingga kini tiada maklumbalas diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Baharudin memaklumkan, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang menempatkan mangsa banjir di Balai Polis Sri Muda akan ditutup pada tengah malam ini.

Terdahulu, PKTK 2 di Persiaran Kemuning Prima, Kemuning Utama telahpun ditutup tengah malam semalam.

Jelas Baharudin, Pusat Kawalan Operasi banjir di IPD Shah Alam akan mula beroperasi pada tengah malam esok bagi menggantikan PKTK yang ditutup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here