PDRM tingkat tahap kesiapsiagaan di Sabah

0
36

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius laporan media bahawa terdapat pihak dari negara Filipina yang sedang merancang untuk menceroboh Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah.

“PDRM memandang serius perkara berkenaan dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan ancaman pencerobohan itu.

“Komitmen dalam perkara ini akan diberikan sepenuhnya demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, portal South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pihak Tentera Diraja Sulu RSA merancang untuk menyerang Sabah selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 orang datuk bandar dari selatan Filipina.

Tambah Acyrl dalam kenyataan itu, PDRM mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.

Menurutnya, setakat ini tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan dan ia dipercayai merupakan maklumat yang telah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara Sabah dengan wilayah selatan Filipina.

“PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal dan elemen-elemen PDRM sentiasa dalam keadaan siap-siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang ancaman.

“Usaha juga akan digiatkan bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot berkenaan.

“Sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here