Peguam Long Tiger dakwa anak guamnya terima ancaman bunuh dalam lokap

0
939
Long Tiger

JOHOR BAHRU – Peguam bela kepada Long Tiger atau nama sebenarnya Ab Hamim Ab Hamid, Datuk Shaharudin Ali, mendakwa terdapat cubaan mencederakan atau membunuh anak guamnya di dalam penjara, beberapa minggu lalu.

Shaharudin berkata, pada 21 November lalu, Mahkamah Tinggi Muar telah mendengar tentang cubaan mencederakan atau cubaan membunuh anak guamnya di dalam penjara.

“Laporan polis telah dibuat dan Hakim Mahkamah Tinggi Muar merekodkan semua kenyataan peguam dan Timbalan Pendakwa Raya dalam mahkamah terbuka.

“Namun, setakat ini, kita tidak tahu perkembangan siasatan laporan polis yang dibuat bagi pihak Hamim,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, cubaan mencederakan anak guamnya ketika dalam tahanan bukan perkara baru dan semuanya telah dirakamkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Muar.

“Kami khuatir dan kami tidak tahu, sama ada Ab Hamim melarikan diri atas sebab yang berkaitan dengan keadaan mentalnya akibat daripada serangan fizikal dan mental ke atas dia di dalam tahanan reman,” katanya.

Dalam pada itu Shaharudin turut terkejut dengan insiden anak guamnya meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Rabu lalu.

Katanya, kejadian itu memeranjatkan pihaknya kerana pada waktu pagi, kes terhadap anak guamnya mulanya dipanggil oleh Majistret di dalam kamar.

“Di dalam kamar Majistret, sekitar jam 10 pagi, pihak pendakwa memaklumkan bahawa seorang saksi kes (SP6) dan isteri, tidak dapat hadir kerana bayi mereka sakit dan mendapatkan rawatan.

“Semua pihak setuju sambung bicara kes ini dimulakan pada jam 2.30 petang untuk membolehkan saksi saksi pendakwaan berkenaan hadir ke mahkamah.

“Namun ketika peguam makan tengah hari di bandar Muar, kami dikejutkan dengan berita anak guam kami lari dari lokap mahkamah. Kami terus bergegas ke mahkamah di Tangkak,” katanya.

Kelmarin, polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Long Tiger selepas meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat, berkata polis kini melancarkan Ops Tutup di sekitar daerah ini dalam usaha mengesan suspek yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari.

Dalam kejadian itu, suspek memakai baju T cerah, berseluar panjang coklat serta memakai selipar, melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari, kira-kira jam 11.55 pagi.

Menurut Shaharudin, pihaknya sekali lagi hadir di mahkamah dan memaklumkan pembelaan sedia untuk meneruskan kes tanpa kehadiran tertuduh, pada jam 2.30 petang Rabu lalu.

Katanya, pihak peguam tertuduh juga tiada bantahan permohonan pendakwa raya yang memohon wang ikat jamin dirampas dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

“Kami tiada bantahan dan mahkamah selepas itu menetapkan satu tarikh sebutan pada tahun depan.

“Melarikan diri daripada tahanan sah adalah satu kesalahan jenayah dan itu tidak dinafikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here