Pelbagai acara menarik nanti pengunjung di IIAF IPOH

0
117
Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIAF) yang diadakan selama 16 hari bermula 10 Disember lalu di PORT Ipoh

IPOH – Pelbagai acara menarik menanti pengunjung sempena penganjuran Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIAF) yang diadakan selama 16 hari bermula 10 Disember lalu di sini.

Pengurus Besar People of Remarkable Talents (PORT) merangkap Pengarah Festival IIAF2021, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, antara pengisian festival itu ialah seperti pameran, bengkel, forum yang merangkumi seni visual, tarian, muzik, kebudayaan dan sebagainya.

Katanya festival yang bertemakan ‘Budi: Pemanjangan Tradisi’ itu yang berlangsung di PORT Ipoh dibuka kepada orang ramai secara percuma.

“Kami mahukan khalayak melihat akan kepentingan seni dan budaya dalam aspek kehidupan kita sehari-harian. Kami mahukan semua pihak menyedari bahawa perkara ini bukan perkara remeh.

“Seperti di bandar-bandar besar terkemuka luar negara, pada kebiasaannya umum mengetahui mereka akan mempunyai acara-acara tersendiri apabila menjelang akhir tahun dan itu juga kita mahu lakukan di Ipoh.

“Pada masa sama, kami mahu turut membantu merancakkan ekonomi dan sektor pelancongan setempat melalui penganjuran IIAF2021,” katanya baru-baru ini.

Menurut Nur Hanim, dalam acara berkenaan, orang ramai berpeluang menyaksikan karya-karya seni visual moden mahupun kontemporari yang dihasilkan oleh hampir 50 seniman tempatan serta luar negara bermula pada jam 9 pagi hingga 9 malam.

Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIAF) yang diadakan selama 16 hari bermula 10 Disember lalu di sini.

Pada masa sama, katanya, orang ramai juga berpeluang untuk menyaksikan dan mendekati kebudayaan masyarakat Orang Asli menerusi demo pembuatan jerat haiwan tradisional, masakan tradisional, pembuatan alat muzik serta peragaan pakaian tradisional masyarakat Orang Asli.

“Turut memeriahkan festival kali in adalah persembahan konsert ‘PROJEK PANGGUNG: Orkestra Kuala Lumpur DBKL X PORT yang menampilkan artis antaranya Mus, Akhil Hayy, Balok People, Leaism, Yonny Boi dan Endang Hyder yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) pada 17 Disember. Persembahan ini dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Ipoh.

“Selain itu sebuah sesi perkongsian artis dan artisan Negeri Perak akan dibuat sempena pelancaran ‘Direktori Seni Visual & Artisan Perak yang dihasilkan penyelidik seni Dr Nicole Chang, pada 26 Disember.

“Pada malamnya pula, persembahan muzik oleh kugiran-kugiran yang ditampilkan di dalam kompilasi album oleh Bodysurf Music “Kopi Sechewen Vol. 4” seperti Raksar, Hem dan Lovethee akan menutup tirai festival,” katanya.

Tambah Nur Hanim, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19 dititikberatkan sepanjang IIAF2021 berlangsung seperti mewajibkan pengambilan dua dos vaksin, pemakaian pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Orang ramai yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut terhadap IIAF2021, boleh melayari laman Facebook Ipoh International Art Festival atau menghubungi Pengurus Projek, Zulhamizan Samsudin di talian 05-2412287 atau 019-4567248 atau, e-mel ([email protected])

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here