Pembinaan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya bermula tahun depan

0
28
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Projek pembinaan sebuah pusat latihan kebangsaan untuk pasukan bola sepak kebangsaan berlatih  akan bermula pada tahun hadapan di Putrajaya.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara, kerja awalan itu merangkumi kerja ukur dan kajian tanah.

“Untuk makluman ahli Yang Berhormat, KBS sememangnya mempunyai perancangan dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Putrajaya untuk membina sebuah pusat latihan kebangsaan bagi kegunaan pasukan bola sepak kebangsaan di Putrajaya.

“Kerja-kerja awalan pembinaan pusat latihan kebangsaan ini yang merangkumi kerja ukur dan kajian tanah akan bermula pada tahun hadapan (2022), katanya.

Jawapan bertulis itu bagi menjawab pertanyaan Senator, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang meminta KBS menyatakan bilakah kerja-kerja pembinaan pusat latihan itu bagi kegunaan pasukan bola sepak kebangsaan di Putrajaya memandangkan rancangan pembinaan pusat latihan ini telah dibuat dua tahun lalu.

Pada 2019, FAM berhasrat untuk membina pusat latihan bertaraf dunia bersama-sama ibu pejabat baharu badan induk bola sepak negara itu di Presint 5, Putrajaya.

Tapak seluas 13 ekar itu bakal dijadikan Pusat Latihan Kebangsaan FAM, selepas diwartakan sebagai padang untuk bola sepak oleh kerajaan persekutuan, menerusi Perbadanan Putrajaya (PPj).

Tujuan utama FAM untuk membina pusat latihan berkenaan adalah menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here