Pemuda UMNO Kelantan rayu kerajaan benarkan pengeluaran i-Citra kali kedua

0
123
NOOR HARIRI

CYBERJAYA – Pemuda UMNO Kelantan merayu supaya kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak membenarkan pengeluaran i-Citra KWSP sebanyak RM10,000.

Laporan Malaysia Gazette menyebut, rayuan itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu, bahawa kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra KWSP bagi kali kedua.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, beliau yakin keputusan itu bukan titik noktah bagi permohonan i-Citra, memandangkan ianya menjadi keperluan dan harapan rakyat mengeluarkan duit simpanan untuk digunakan dalam situasi mendesak seperti pemulihan pasca banjir dan Covid-19.

“Permintaan kami ini selaras dengan keputusan dipersetujui bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO dalam Mesyuarat MKT UMNO pada 27 Ogos 2021.

“Mesyuarat itu antaranya membuat ketetapan, kerajaan mesti menyantuni tuntutan rakyat seperti pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000.

“Kami berpendapat inisiatif berhutang dengan TEKUN dan BSN akan memberi bebanan tambahan jangka panjang kepada peminjam sekali gus mencipta rekod senarai hitam di bank sekiranya gagal membuat pembayaran balik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Hariri, pinjaman itu juga akan memberi gambaran tidak baik kepada penilaian para pelabur asing terhadap Credit Rating negara Malaysia.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan bantuan tunai RM1,000 kepada mangsa banjir, sekurang-kurangnya akan memberi sedikit nafas dalam pembelian barang makanan untuk sebulan setelah kembali ke kediaman masing-masing.

“Kelulusan bantuan i-Citra RM10,000 ini tentunya akan memberi lagi kelegaan kepada rakyat yang akan kembali menjalani kehidupan norma baru era pasca banjir dan pasca Covid-19 ini.

“Selepas keadaan ekonomi rakyat semua kembali stabil, kerajaan boleh fokus kembali membina balik baki simpanan pendeposit dalam KWSP ini,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Kelantan sekali lagi berharap Perdana Menteri mempertimbangkan kelulusan itu demi rakyat yang terkesan.

Kelulusan itu, katanya, memberi bukti sebenar kepada kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here