
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) hari ini mengumumkan penangguhan bayaran cukai terhadap pembayar cukai atau majikan terjejas banjir.
LHDNM dalam kenyataannya berkata, bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia baru-baru ini telah memberi kesan kepada liabiliti serta obligasi pembayar cukai dan majikan untuk membuat bayaran cukai dalam tempoh ditetapkan.
Katanya, ia termasuklah bayaran anggaran cukai, ansuran cukai sama ada di peringkat siasatan, audit, pungutan dan guaman sivil serta bayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) pekerja.
“Oleh itu, atas dasar keprihatinan LHDNM, tarikh akhir bayaran anggaran cukai kena dibayar (CP204) bagi bulan Disember 2021 dilanjutkan sehingga 31 Januari 2022.
“ Bayaran ansuran siasatan / audit / pungutan / guaman sivil bagi bulan Januari 2022 ditangguhkan sehingga bulan Februari 2022;
“Tarikh akhir bayaran PCB dan / atau CP38 pekerja bagi bulan saraan Disember 2021 dilanjutkan untuk diremit sehingga 31 Januari 2022.
“Bayaran baki cukai dibenarkan penangguhan sehingga ke suatu tempoh yang dimohon oleh pembayar cukai,” kata LHDNM dalam kenyataannya hari ini.
Menurutnya lagi, pembayar cukai atau majikan yang terjejas perlu mengemukakan permohonan penangguhan bayaran cukai ini kepada LHDNM melalui kaedah ditetapkan.
“Permohonan penanguhan boleh dibuat melalui emel ke [email protected] atau melalui borang maklum balas yang boleh dicapai di portal rasmi LHDNM,” kataya.
Dalam pada itu katanya, dokumen yang perlu dikemukakan bagi menyokong permohonan tersebut adalah berdasarkan kepada merit kes.
“Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada HASiL melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas,” katanya.