
RIYADH – Kerajaan Arab Saudi kembali melaksanakan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal termasuk di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, berkuat kuasa pukul 7 pagi (waktu tempatan), hari ini.
Laporan portal Saudi Gazette semalam menyebut, arahan itu berkuatkuasa di semua premis baik di kawasan umum atau tertutup, keputusan tersebut dilakukan pihak berkuasa sebagai usaha membendung penularan varian Omicron dan lonjakan kes harian di negara itu.
Dengan pelaksanaan itu, semua langkah-langkah penjarakan fizikal dalam kalangan jemaah umrah antaranya dengan menjarakkan sejadah dan semasa melakukan tawaf kembali dipraktikkan demi menjaga kesihatan dan keselamatan mereka.
Menurut Presidensi Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, selain penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka, orang ramai turut diminta mematuhi masa yang ditetapkan untuk masuk ke dalam masjid seperti yang tertera pada permit umrah dan solat yang dikeluarkan oleh aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.
Mereka dalam masa sama turut mengingatkan semua jemaah dan pekerja di Dua Masjid Suci untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan berkenaan.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut mengumumkan pelaksanaan semula pemakaian pelitup muka dan mengekalkan langkah penjarakan fizikal di semua kawasan tertutup dan terbuka di negara itu berkuat kuasa hari ini.