Penularan Covid-19 babitkan warga sekolah masih terkawal

0
9
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin

KUBANG PASU – Penularan kes Covid-19 membabitkan warga sekolah selepas pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka di negara ini masih terkawal.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia berdasarkan jumlah kes jangkitan Covid-19 secara relatifnya masih rendah  jika dibandingkan dengan keseluruhan 10,000 sekolah yang ada di seluruh negara.

“Jumlah kluster institusi pendidikan di seluruh negara kini membabitkan 21 sekolah. Seramai 287 pelajar sekolah rendah dan menengah disahkan positif manakala 179 lagi murid tadika swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Melihat kepada konteks lebih luas yang mana kita memiliki lebih 10,000 sekolah, tidak termasuk sekolah berasrama penuh, kolej vokasional, matrikulasi dan sebagainya, boleh dikatakan keadaan sekarang masih berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan Digital-AEON Sayap Bagimu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman, Bandar Darul Aman, hari ini.

Sebelum ini, Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif COVID-19 yang membabitkan warga sekolah itu.

Media juga melaporkan seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik disahkan positif COVID-19 membabitkan kluster pendidikan iaitu Kluster Dah Pelangi selepas menunjukkan gejala sejak 28 November lalu.

Dalam pada itu, Radzi turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada pengurusan sekolah yang menyembunyikan kes positif COVID-19 membabitkan guru dan murid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here