Perarakan Piala Malaysia di ibu negara esok

0
23
KL City menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan JDT 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

CYBERJAYA – Warga kota berpeluang meraikan kejayaan Kuala Lumpur City (KL City) yang menjulang Piala Malaysia ke-100 dalam acara perarakan esok.

Acara perarakan yang diadakan esok itu diumumkan sendiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam satu program bual bicara hari ini.

Annuar berkata, perarakan itu susulan kejayaan KL City menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada Final TM Piala Malaysia 2021.

Selain itu katanya, beliau dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim ada berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Katanya, ia bagi mendapatkan keizinan cuti kerana kebanyakan negeri apabila menang bola sepak, keesokannya akan cuti peristiwa.

“Perdana Menteri kemudian bersetuju memberi Wilayah Persekutuan diisytiharkan cuti pada Jumaat maka kita akan mengadakan perarakan.

“Esok (Jumaat) akan ada perarakan Piala Malaysia dalam bandar raya sempena cuti Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya, hari ini.

Shahidan semalam mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada Jumaat ini.

Menurut beliau, kemenangan semalam adalah pencapaian terbaik buat KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia yang mana kali terakhir kemenangan pada tahun 1989.

“Pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan ini dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369] bagi Wilayah Persekutuan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here