Perbicaraan SRC diteruskan dalam talian atau waran tangkap terhadap Najib akan dikeluarkan

0
86
Datuk Seri Najib Tun Razak

PUTRAJAYA – Perbicaraan kes rayuan SRC International akan diteruskan pada 12.30 tengah hari secara dalam talian atau waran tangkap akan dikeluarkan serta merta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Mahkamah Rayuan hari  ini.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat perintah itu selepas peguam Harvinder Singh Sidhu memohon prosiding hari ini ditangguhkan kerana salah seorang barisan peguam Najib disahkan positif Covid-19 manakala yang lain menjadi kontak kasual.

“Mahkamah beri dua pilihan, yang pertama wang jaminan dibatalkan dan waran tangkap dikeluarkan terhadap Najib untuk beliau dibawa ke mahkamah serta-merta atau pendengaran permohonan didengar secara Zoom tanpa mendapatkan persetujuan pihak-pihak.

“Saya mahu kamu maklumkan kepada pihak peguam yang mereka boleh bekerja dari rumah. Esok tetap esok, kami belum buat keputusan untuk tangguh! Kita dengar permohonan (memasukkan bukti baharu) ini hari ini.

“Ia hanya untuk keputusan, semua hujahan sudah tamat enam bulan lalu. Ini adalah arahan saya, kes hari ini akan didengar pada jam 12.30 tengah hari, jika gagal (hadir secara Online), saya akan putuskan sewajarnya tengah hari ini,” katanya.

Malam tadi, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan bagi kes SRC International atas alasan yang sama.

Pasukan pembelaan Najib sebelum ini memohon penangguhan pendengaran mereka untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan didengar pada Selasa.

Peguam utama dalam pasukan itu, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah melalui surat, yang didedahkan kepada media lewat malam tadi, bahawa salah seorang peguamnya didapati positif Covid-19 manakala yang lain telah menjadi kontak rapat.

Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan yang difailkan oleh Najib pada 1 Dis lalu di mana Ahli Parlimen Pekan itu meminta Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan bukti viva voce (bukti lisan) Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki antara lain untuk diambil bagi tujuan rayuan Najib.

Mahkamah rayuan juga bersedia untuk menyampaikan keputusan dalam rayuan Najib dalam kes SRC International pada Rabu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here