Perdana Menteri sedih kehilangan Allahyarham Sabbaruddin yang merupakan sifu, mentor politiknya

0
60
Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam tadi di PPUM

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan perasaan sedih beliau dengan kehilangan Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik yang merupakan sifu dan mentor politiknya.

“Telah berpulang kepada Allah SWT, seorang insan yang sebahagian kehidupan saya ‘terhutang’ kepadanya.

“Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, seorang sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik telah meninggal dunia meninggalkan kita semua selama-lamanya,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya sebentar tadi.

Allahyarham Sabbaruddin yang juga bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya
meninggal dunia sekitar pukul 8 malam tadi setelah seminggu dimasukkan ke hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangan saya dalam dunia politik dan selamanya akan menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari tahun 1987 sehingga 1996.

“Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

“Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham. Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.

Beliau berkata, pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga buat negara kita.

“Saya berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here