Platform ekosistem kredit ANGKASA mampu banteras jerat Ah Long

0
96
Presiden ANGKASA, Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata sesuatu dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar ketika merasmikan Mini Konvensyen Ekosistem Kredit Koperasi 2021 hari ini.

KUALA LUMPUR – Langkah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mewujudkan platform ekosistem kredit untuk ditawarkan kepada pelanggan mampu menyelesaikan isu peminjam wang tidak berlesan atau “Ah Long” yang semakin berleluasa sekarang.

Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah, dengan adanya platform ekosistem itu, peranan ANGKASA sebagai sebuah badan Apex yang melindungi koperasi serta ahli-ahlinya dapat dilaksanakan dengan baik.

“Dalam konteks ini, koperasi kredit akan lebih fokus dalam penawaran pembiayaan yang terbaik kepada ahli-ahlinya dan aktiviti selebihnya akan dilaksanakan oleh ANGKASA melalui rantaian ekosistem ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar merasmikan Mini Konvensyen Ekosistem Kredit Koperasi 2021 hari ini.

Yang hadir sama, wakil dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Anggota Lembaga ANGKASA, Bank Kerjasama Rakyat, Co-Opbank Pertama Berhad, Bank Muamalat Berhad dan agensi-agensi berkaitan

Mengulas lanjut, Abdul Fatah berkata,
ekosistem itu dibangunkan menerusi gabungan perkhidmatan yang telah ditawarkan oleh ANGKASA.

Antaranya, katanya, Program Rangsangan Modal, Portal MyAngkasa AzZahra, Perkhidmatan Sistem Pelaporan Kredit (SPeKAR), Sistem Potongan Gaji Angkasa (SPGA), Tawarruq Angkasa, Non Bank Lender Credit Information (NLCI) dan juga Perkhidmatan Kutipan dan Pemulihan Kredit Angkasa (ACCRS).

Katanya, kesemua program itu mampu menyelesaikan beberapa halangan dan permasalahan yang dihadapi oleh koperasi-koperasi kredit khususnya yang kredit berskala kecil dan sederhana.

“Sebagai contoh, Portal MyAngkasa AzZahra, sebuah portal sehenti atas talian yang dibangunkan bagi membantu koperasi-koperasi kredit dalam mempromosikan pakej-pakej pembiayaan mereka.

“Malah ianya juga bakal memudahkan ahli-ahli koperasi dalam mendapatkan pakej pembiayaan koperasi dengan kadar keuntungan yang lebih kompetitif dan pelbagai.

“Ini secara tidak langsung dapat menyelesaikan isu jerat “Ah Long” tidak berlesen yang makin berleluasa, lebih-lebih lagi di kala rakyat dihimpit dengan masalah kewangan yang meruncing akibat daripada pasca pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini,” ujarnya.

Sementara itu, Noh dalam ucapannya berkata, ekosistem yang dibangunkan khas oleh ANGKASA itu mampu membawa perkhidmatan kredit koperasi di Malaysia kepada satu standard dan kualiti yang setara dengan institusi-institusi pembiayaan yang lain.

Beliau juga percaya, melalui Mini Konvensyen Ekosistem Kredit ini, ianya bakal menjadi satu titik mula dalam memperkasakan lagi sektor kewangan koperasi di Malaysia dalam menuju kearah mutu perkhidmatan yang lebih jitu dan mapan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here