PM akan terima Penasihat Khas Kesihatan

0
35
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan menerima seorang lagi Penasihat Khas dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, Penasihat Khas itu kini sedang dalam proses lantikan.

Beliau berkata, Penasihat Khas itu akan bertanggungjawab untuk menasihati Perdana Menteri dalam bidang kesihatan.

“Buat masa ini Perdana Menteri mempunyai tiga Penasihat Khas iaitu bagi undang-undang dan hak asasi manusia, agama dan kesihatan.

“Penasihat yang dilantik ini dalam kalangan mereka yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal berkaitan dengan skop tugas mereka, yang boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara, selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Amiruddin Hamzah (PEJUANG-Kubang Pasu) yang bertanya jumlah Penasihat Khas Perdana Menteri yang dilantik dan bidang mereka, serta implikasi kewangan bagi setiap lantikan dan keputusan penting yang dibuat hasil daripada nasihat yang diberikan.

Abdul Latiff berkata, anggaran kos bulanan keseluruhan bagi setiap satu pejabat Penasihat Khas yang dilantik, termasuk kos pegawai di pejabat itu adalah RM50,000.

“Kos ini termasuk bayaran gaji dan emolumen Penasihat Khas serta pegawai yang dilantik bagi menguruskan hal ehwal dasar dan operasi di pejabat itu,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Agama).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here