PM arah lipat ganda usaha bantu mangsa banjir, kerajaan terus bersama rakyat

0
6
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika turun padang melawat mangsa banjir pagi ini

CYBERJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan serta-merta semua kementerian yang berkaitan melipatgandakan usaha dalam membantu operasi banjir di kawasan yang terjejas teruk.

Ismail Sabri berkata, beliau sejak malam tadi dan sehinggalah pagi tidak henti-henti meninjau operasi menyelamat di sekitar Selangor dan menziarahi mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Selepas meninjau mangsa banjir di Kampung Lanchung, Putra Heights lewat malam tadi, saya sangat risau dengan keadaan mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan musibah ini.

“Serta-merta, saya telah arahkan semua kementerian berkaitan melipatgandakan lagi usaha dalam membantu operasi banjir khususnya di kawasan yang terjejas teruk.” katanya dalam hantaran di Laman Facebooknya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pada pagi ini, beliau sendiri turun padang meninjau PPS SK Johan Setia, PPS SK Telok Gong dan Masjid Al Islah Kampung Nelayan Telok Gong, Klang bagi memastikan keadaan mangsa selamat dan segala keperluan asas mencukupi sepanjang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

“Saya juga telah meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan Negeri, serta agensi terlibat sentiasa memastikan segala kebajikan mangsa diberi perhatian. Saya berdoa semoga Keluarga Malaysia yang terkesan sentiasa tabah menghadapi musibah ini dan kerajaan akan terus bersama rakyat.” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here