
TEMERLOH – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat mangsa banjir di sekitar Pahang.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri hari ini melawat pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mentakab.
Perdana Menteri yang tiba pada pukul 10.45 pagi meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai situasi banjir di daerah itu
Ismail Sabri juga berkesempatan untuk bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.
Difahamkan, terdapat 938 mangsa daripada 336 keluarga masih mendapatkan perlindungan di SJKC Mentakab, berikutan banjir di kawasan masing-masing belum surut sepenuhnya.
Menurut data Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, setakat pukul 8 pagi tadi terdapat 12,663 mangsa banjir daripada 3,629 ditempatkan di 79 PPS di seluruh daerah Temerloh.
Perdana Menteri seterusnya bergerak ke Karak untuk melawat sebuah lagi PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia.