PM luluskan RM25 juta bina projek infrastruktur di Kapit

0
19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KAPIT-  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk pembinaan projek infrastruktur di Kapit.

Ismail Sabri berkata, ia melibatkan peruntukan RM20 juta untuk pembinaan jalan alternatif dari Lapangan Terbang Kapit serta RM5 juta bagi naik taraf Hospital Kapit.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sentiasa ambil peduli terhadap keperluan penduduk di Sarawak dan Sabah bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terpelihara.

“Ini sebahagian daripada pemohonan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, saya luluskan sebanyak RM20 juta untuk pembinaan jalan alternatif ini bagi mengelakkan kesesakan.

“Seterusnya yang kedua saya luluskan juga peruntukan RM5 juta bagi menaiktaraf Hospital Kapit bagi kegunaan hemodialisis bagi merawat pesakit buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit Town Square hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa sebuah lapangan terbang akan dibangunkan di Kapit.

“Salah satu daripada tiga lapangan terbang yang dirancang dibina di Sarawak adalah di Kapit. Ini bermakna Kapit bukan sahaja mempunyai jalan yang baik tetapi juga akan memiliki lapangan terbang sendiri.

“Sebesar mana dan perincian lanjut mungkin nanti Datuk Seri Alexander Nanta Linggi boleh mengadakan perbincangan bersama Menteri Pengangkutan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukkan untuk membina sebuah Kolej Profesional Mara di Kapit dengan Kos RM90 juta dalam RMK12.

Perdana Menteri juga yakin dengan adanya jaringan jalan raya Sibu Kapit yang telah siap, taraf hidup rakyat terutamanya dari segi sosio-ekonomi akan meningkat.

“Ia sekali gus memberi manfaat kepada penduduk Kapit, Song dan Kanowit yang melibatkan 434 buah rumah panjang, 55 buah sekolah dan 9 klinik yang terletak di sepanjang jalan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here