PM mahu kesan perubahan iklim diambil kira sebelum projek pembangunan dibuat

0
15
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) hari ini

CYBERJAYA – Kerajaan memandang serius
terhadap impak peningkatan suhu global yang melebihi 1.1 darjah celsius sehingga mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berikutan itu kerajaan melalui Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) menyarankan supaya tindakan segera diambil bagi mengatasi isu berkenaan.

“Mesyuarat menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga Rancangan Malaysia
Ke-15.

Beliau berkata, agenda itu akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dalam mesyuarat itu juga MAN telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan yang telah dibentangkan antaranya berhubung pewartaan perizaban tanah kerajaan untuk pengekalan kolam.

Beliau berkata, menerusi inisiatif itu kerajaan bercadang mewartakan rizab tanah kerajaan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai bagi menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga akan melakukan tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Katanya, pelaksanaan itu perlu mengambilkira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan, supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara.

“Yang ketiga ialah kerjasama pelaksanaan inisiatif air pulih guna di antara Indah Water
Konsortium Sdn. Bhd. dengan syarikat operator air negeri.

“Inisiatif ini bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep ekonomi kitaran dalam menguruskan sumber air negara.

“Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan
tambahan syarikat operator air,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here