PM rasmi lebuh raya Pan Borneo jajaran Serian

0
38
Ismail Sabri (tengah) ketika merasmikan pembukaan Lebuh raya Pan Borneo Jajaran Seksyen Serian hari ini.

SERIAN – Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Serian yang dirasmikan oleh Perdana Menteri hari ini adalah bukti kerajaan Pusat tidak pernah mengetepikan pembangunan di Sarawak dan Sabah.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bahkan dalam Bajet 2022, Kerajaan Persekutuan telah memberikan peruntukan lebihan sebanyak 20 peratus kepada negeri tersebut berbanding negeri lain selepas mengambil kira keperluan perbelanjaan infrastrukturnya.

Justeru Ismail berkata, Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang baharu disiapkan itu adalah hasil perancangan rapi dan holistik antara kerajan Persekutuan dan negeri melalui Highway Development Planning (HNDP).

“Pelaksanaan projek ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ia dilakukan bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.

“Ia diharap dapat memastikan pembangunan sosio ekonomi dilakukan dengan lebih baik dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sarawak selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya pada majlis perasmian Projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak Jajaran Serian (Pakej Kerja 03) hari ini.

Ismail Sabri Yaakob tiba pada majlis perasmian Projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak Jajaran Serian (Pakej Kerja 03) hari ini

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pembinaan Jajaran Serian merangkumi naik taraf jalan raya sedia ada daripada Bulatan Serian ke Simpang Pantu sepanjang 75 kilometer.

Skop pembinaan jajaran itu melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada, pembinaan empat jambatan, 47 hentian bas, 19 pusingan P, tujuh jejantas pejalan kaki dan dua persimpangan bertingkat.

Pada masa sama, Ismail Sabri menjelaskan pembinaan projek lebuh raya itu terpaksa dihentikan selama 22 bulan berikutan pertukaran kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Kalau tidak berlaku pertukaran (kerajaan), pasti akan diteruskan, kerajaan pusat melihat perkara itu penting untuk rakyat Sarawak bagi memudahkan perjalanan serta meningkatkan ekonomi.

“Banyak yang kita sudah rancang antara kerajaan Pusat dan Negeri bagi memudahkan rakyat Sarawak, kesemua perancangan ini mudah dilakukan kerana hubungan rapat antara kedua-dua pihak,” jelasnya.

Ismail berkata, langkah memastikan Sabah dan Sarawak membangun bersama-sama adalah seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia sekaligus merapatkan jurang pembangunan dengan Semenanjung Malaysia.

Maka katanya, tumpuan kerajaan kini adalah beralih ke arah pembangunan ekonomi digital melalui peruntukan sebanyak RM4 bilion untuk meningkatkan capaian internet di Sarawak.

“Komitmen ini akan dicapai sebelum hujung tahun 2022,” katanya.

Perdana Menteri melihat peta jajaran lebuh raya Pan Borneo jajaran Serian yang disiapkan semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here