PM umum inisiatif baharu bantu Keluarga Malaysia terkesan banjir

0
72
Bencana banjir yang berlaku sejak Jumaat lalu menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

CYBERJAYA – Kerajaan melalui beberapa agensi dan sektor perbankan akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan peniaga yang terkesan akibat banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu termasuk bantuan bayaran balik pinjaman untuk pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

Katanya, tawaran itu merupakan lanjutan daripada bantuan yang diumumkan beliau sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah.

“Saya amat bersimpati dengan kesengsaraan dan kepayahan yang terpaksa ditanggung oleh Keluarga Malaysia akibat terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini.

“Mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Ismail Sabri berkata, mengambil kira kepayahan yang didepani Keluarga Malaysia, kerajaan sedia menawarkan beberapa kemudahan bagi meringankan beban rakyat dan golongan peniaga terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir.

Antara inisiatif yang diumumkan adalah tawaran pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

“Moratorium (rehat bayaran) 6 bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa mangsa banjir di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang terkesan.

“Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri turut mengumumkan tawaran kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta oleh Bank Negara (BNM) untuk PMKS melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022.

“BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here