PM yakin HRD Corp mampu main peranan bangunkan Keluarga Malaysia

0
22
Perdana Menteri ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jenama Baharu HRD Corp di Kuala Lumpur, hari ini.

CYBERJAYA – Penjenamaan semula Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) sebagai sebuah agensi pusat bagi semua program pembangunan modal insan akan memberikan manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peranan HRD Corp menjadi semakin penting sepanjang tempoh 18 bulan ini, apabila inisiatif strategik yang diperkenalkan berjaya melindungi pekerjaan sedia ada dan mencipta peluang baharu untuk rakyat Malaysia.

“Saya yakin, HRD Corp mampu terus menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital, melalui pembangunan aset negara yang paling berharga, yakni Keluarga Malaysia sendiri.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Dua dimensi utama RMK12, iaitu Pemerkasaan Ekonomi dan Perekayasaan Sosial sememangnya memerlukan inisiatif yang mencipta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk segenap masyarakat,” kata Ismail Sabri dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Jenama HRD Corp dan Platform Sehenti Program Kemahiran di Kuala Lumpur, hari ini.

Dikenali sebagai HRDF sebelum ini, penjenamaan semula HRD Corp turut melibatkan fungsinya dalam menyelaraskan latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran, menerusi satu platform bersepadu atau ‘single window’.

“Platform bersepadu ini akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun hadapan, (dengan) sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan dijangka seramai 220,000 peserta akan menyertainya dengan pembiayaan kerajaan,” tambahnya.

Perdana Menteri turut menyatakan harapannya supaya HRD Corp akan terus menyokong usaha pembangunan modal insan melalui lebih banyak program kemahiran, peningkatan kemahirandan kemahiran semula yang akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

“Saya yakin HRD Corp akan menjadikan pengurusan latihan lebih sistematik dan dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan berdasarkan keperluan semasa pihak industri,” kata Ismail Sabri lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here