PMKS harus manfaatkan inovasi, digitalisasi dan teknologi- PM

0
12
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggariskan dua fokus utama sebagai pemangkin pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pasca pandemik Covid-19.

Ismail Sabri berkata, yang pertama ialah PMKS harus memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan sektor berkenaan ke arah lebih baik.

“Pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik merupakan perkara lazim di dalam ekonomi hari ini, disebabkan oleh keperluan dan peluang yang semakin meningkat.

“Ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0. Kita dapat melihat bahawa kehadiran PMKS di atas talian telah meningkat dua kali ganda daripada 35.3 peratus  yang dicatatkan pada 2019 (pra-COVID) kepada 75.8 peratus pada 2021 pasca Covid-19,” kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri berkata demikian ketika merasmikan Pameran Tahunan PKS SMIDEX 2021 yang bertemakan PMKS: Bangkit Kembali! di sini hari ini.

Fokus seterusnya kata Ismail Sabri, perancnagan jangka panjang PMKS harus menerapkan prinsip-prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi perniagaan mereka.

Katanya, tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran, amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.

“Menyedari hakikat bahawa penerapan prinsip-prinsip kelestarian adalah amat penting di dalam strategi perniagaan sesebuah PMKS, saya difahamkan SME Corp. Malaysia serta United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan melalui satu platform digital yang dinamakan sebagai Action Centre for Sustainable Development of SMEs atau singkatannya ACCESS,” ujar beliau lagi.

Menurut Ismail Sabri, platform ini akan menyediakan PMKS khidmat nasihat, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat di dalam amalan Sustainable Development Goals (SDG) serta ESG.

Disamping itu katanya, kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa.

Katanya, inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan ke kerajaan (G2G) serta usaha sama dalam kalangan negara ASEAN dan APEC serta pertubuhan antarabangsa yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here