Polis lepaskan tembakan selepas lihat suspek pegang senjata api – Pesuruhjaya Polis Sarawak

0
92
Suspek meninggal dunia di tempat kejadian setelah terkena tembakan anggota polis.

CYBERJAYA – Anggoa polis yang melepaskan tembakan ke arah suspek kejadian kejar mengejar di Kuching semalam berbuat demikian setelah melihat suspek berkenaan memegang selaras senjata api.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, pemeriksaan dalam kenderaan suspek yang mati ditempat kejadian itu menemukan selaras senapang patah beserta beberapa butir peluru hidup.

“Ketika kejadian, lima anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sedang menjalankan tugas rondaan terserempak dengan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, suspek memecut kenderaannya setelah diarahkan untuk berhenti hingga melanggar 5 buah kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat di Jalan Simpang tiga,” kata Aidi dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Aidi, anggota kemudian melepaskan tiga tembakan ke arah tayar kenderaan menyebabkan kenderaan itu berhenti.

“Ketika anggota menghampiri kenderaan berkenaan, dia terlihat suspek memegang selaras senjata api. Bagi mempertahankan diri, dia melepaskan 2 das tembakan yang membunuh suspek,” kata Aidi lagi.

Semakan polis mendapati, suspek memiliki 14 rekod jenayah lampau meliputi curi kenderaan, penipuan dan penyalahgunaan dadah.

Terdahulu, kelima-lima anggota yang terlibat dalam kejadian itu sudah ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran serta merta.

“Tindakan itu diambil bagi melancarkan lagi siasatan,” kata Aidi kepada portal Utusan Borneo.

Beliau menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here