Polis tahan suami isteri dipercayai lindungi Long Tiger

0
168
Banduan reman dikenali sebagai Long Tiger yang kini dalam pemburuan polis selepas meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistrret Tangkak pada 15 Disember lalu.

KLUANG – Polis menahan sepasang suami isteri dipercayai terlibat melindungi banduan reman Abdul Hamim Ab Hamid atau Long Tiger yang meloloskan diri daripada lokap Mahkamah Majistret Tangkak pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua suspek telah direman selama empat hari di Balai Polis Bukit Gambir, bermula semalam bagi membantu siasatan.

“Suspek lelaki berusia 41 tahun dan perempuan 43 tahun itu disyaki mengetahui dan bersubahat melindungi Long Tiger selain mempunyai hubungan sebagai kenalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Bas Ekspres, Bas Persiaran dan Lori di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) arah Utara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), malam tadi.

Sementara itu, Ayob berkata, usaha mengesan dan menjejak Long Tiger kini diteruskan dan pihak polis menyeru orang ramai supaya jangan sesekali bersubahat melindungi suspek warga Rohingya tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, dua daripada empat anggota polis yang disiasat berkaitan kejadian lolos dari lokap mahkmah itu kini digantung tugas sehingga kes selesai.

“Hasil siasatan mendapati dua anggota tersebut terlibat secara langsung dalam kejadian itu.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan. Kita akan siasat sama ada berlaku subahat atau rasuah, bukah sahaja kecuaian,” katanya.

Beliau berkata, anggota polis yang didapati bersalah dalam kes kesalahan yang serius seperti itu juga berdepan dengan tindakan buang kerja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here