PPR seluruh negara dipasang ‘hotspot’ tanpa wayar menjelang 2025

0
13
Reezal Merican .

SEREMBAN – Kesemua 154 Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara akan menerima kemudahan hotspot tanpa wayar di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) PPR menjelang 2025.

Bernama melaporkan, buat permulaan, sebanyak 36 PPR telah dipasang kemudahan Internet berkenaan yang memanfaatkan lebih 150,000 penghuni di kawasan terbabit termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pada masa ini sejumlah 80 PPR telah dilengkapi infrastruktur gentian optik, sedang dinaik taraf manakala 21 PPR lagi dalam perancangan untuk dinaik taraf.

“Kita ada bagi peranti tablet untuk pelajar tapi bila mereka nak buat Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) tak dapat kerana capaian Internet terhad, maka tak dapat pendidikan sepatutnya, begitu juga perniagaan yang banyak beralih kepada dalam talian susulan Covid-19, jadi amat tidak adil apabila kediamaan didiami mereka dinafikan akses Internet.

“Internet merupakan utiliti ketiga, dah jadi keperluan dan tiada seorang pun di Malaysia dinafikan daripada menikmatinya. Tiada Internet bermakna tiada kelestarian dalam kehidupan, kita nak warga PPR berada dalam komuniti digital seterusnya mampu menjana pendapatan melalui aplikasi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Jendela PPR dengan kerjasama PR1MA Communications Sdn. Bhd. dan menyerahkan 20 tablet kepada anak penghuni PPR Senawang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata semua projek baharu PPR perlu dilengkapi elemen gentian optik seperti yang telah dilaksanakan di dua PPR di Pulau Langkawi bagi membolehkan penghuninya menikmati kemudahan akses Internet lebih baik.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa komited dalam memastikan penyediaan jaringan Internet yang baik bagi meningkatkan kesalinghubungan dan komunikasi digital dalam kalangan penduduk PPR seterusnya membantu memberi nilai tambah dalam konteks Malaysia Berdaya Huni buat Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu beliau berkata KPKT juga akan memperkenalkan Indeks Daya Huni Malaysia pada awal tahun depan merangkumi kebenaran merancang oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus menjadikan PPR relevan untuk generasi akan datang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 pada 29 Okt lepas mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi JENDELA PPR dalam memastikan golongan di penempatan itu tidak tersisih daripada dunia pendigitalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here