Prestasi keseluruhan Jemaah Menteri capai 90 peratus – Ismail Sabri

0
14
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika tiba untuk merasmikan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC hari ini.

KUALA LUMPUR – Prestasi keseluruhan 100 hari Ahli Jemaah Menteri berjaya mencapai tahap 90 peratus daripada 100 peratus sasaran ditetapkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, sebanyak 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari oleh 31 orang menteri membabitkan lima kluster iaitu Menteri Kanan, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.

Beliau berkata, laporan pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) penting dalam menentukan hala tuju kerajaan mencapai matlamat agar kehidupan lebih baik dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera berkata, aspirasi pentadbiran yang direncanakan kerajaan bukan janji kosong namun ia adalah usaha bersepadu dilaksanakan secara cekal. 

“Pada 24 September 2021 yang lalu, saya telah memuktamadkan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari yang diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50%), Penilaian Prestasi Menteri (25%) dan Persepsi Awam (25%) terhadap Menteri dan Kementerian.

“Sebanyak 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari tersebut, yang melibatkan 31 Yang Berhormat Menteri daripada lima Kluster, iaitu Kluster Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.

“Prestasi keseluruhan 100 Hari Jemaah Menteri belum menepati sasaran 100 peratus seperti yang dihasratkan. Namun pada ketika ini, Ahli Jemaah Menteri telah mencapai sekitar 90 peratus,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Dalam majlis sama juga, Ismail Sabri menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada lapan penerima yang terkesan kerana kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dan kemalangan jalan raya.

Ismail Sabri menjelaskan, sesetengah prestasi tidak dapat dinilai daripada kaji selidik semata-mata dan peratusan yang dicapai bukan alasan untuk seluruh pimpinan kerajaan mendabik dada.

“Sasaran penuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam, menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia, dengan mengetepikan segala kerenah birokrasi yang rumit.

“Bak kata orang Iban, “entik begempung kitai sepanjung, entik pamar kitai dekat ngepar”” – Jika bersatu, suara kita akan lebih didengar, jika berpecah usaha kita sia – sia,” jelasnya.

Selain itu, Ismail Sabri turut  mengumumkan sebanyak 24,300 peluang pekerjaan membabitkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri juga berterima kasih kepada Keluarga Malaysia atas pencapaian ini yang bukan hanya memberikan tumpuan kepada petunjuk prestasi utama (KPI) tetapi  mengambil kira persepsi Keluarga Malaysia melalui soal selidik yang diberikan. 

“Pembabitan Keluarga Malaysia dalam menilai kepemimpinan, integriti, komunikasi, keboleh percayaan, responsif dan empati setiap Jemaah Menteri dan kementerian amat dihargai.

“Seramai 190,914 ahli Keluarga Malaysia terbabit dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (Mampu) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian. 

“Usaha ini permulaan bersejarah kerana penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian kerajaan dan saya berharap lebih ramai Keluarga Malaysia memberikan pandangan bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan memahami bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini namun100 hari bukan jangka masa yang memadai untuk mengukur prestasi. 

Dalam pada itu katanya, masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambah baik. Kami akan berusaha dengan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan rakyat.

“Secara kolektif, kita bergerak mengharungi dan menerjah rintangan dalam memacu negara ke hadapan, bersandarkan semangat Keluarga Malaysia sejati,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here