PRN Sarawak: BN nyatakan sokongan kepada GPS

0
37
Abang Jo (tengah) bersama pemimpin BN yang hadir ke rumahnya hari ini

CYBERJAYA – Barisan Nasional (BN) memberi sokongan sepenuhnya kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember ini.

Sokongan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu hantaran dalam laman sosial miliknya sebentar tadi.

“Kunjung hormat berjumpa Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg (Abang Jo) di kediaman beliau di Kuching, Sarawak pada malam 3 Disember 2021 (Jumaat), menyatakan sokongan BN secara rasmi kepada GPS dan berharap GPS akan menang besar pada PRN Sarawak,” katanya sebentar tadi.

Dalam hantaran menerusi laman sosial miliknya itu juga dipaparkan beberapa pemimpin utama BN dan UMNO yang mengunjungi Abang Jo di kediamannya semalam.

Antara yang hadir ialah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin; Pengarah Komunikasi BN, Datu Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan beberapa pemimpin tertinggi BN yang lain.

GPS dibentuk selepas beberapa parti utama di Sarawak yang sebelum ini merupakan sebahagian komponen BN keluar daripada pakatan itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu berikutan kekalahan BN kepada Pakatan Harapan.

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan setelah mencapai tempoh matang lima tahun pada 7 Jun lalu namun proses itu tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang sudah dibatal dan diungkaikan oleh kerajaan.

Pada 31 Julai lalu, Sarawak diisytiharkan darurat selama enam bulan sehingga 2 Februari 2022 selaras di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Sarawak 2021 diterbitkan dalam Warta Persekutuan, pada 30 Julai lalu dan berkuat kuasa mulai 2 Ogos lalu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here