PRN Sarawak: SPR terima 349 pencalonan daripada 10 parti

0
14
Abdul Ghani Salleh

KUCHING – Sebanyak 349 kertas pencalonan daripada 10 parti bertanding diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kali ini.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah tersebut disahkan selepas tempoh penamaan calon bagi 82 kerusi DUN negeri itu tamat pada 10 pagi tadi.

Katanya, parti-parti yang terlibat adalah Gabungan Parti Sarawak (82 calon); Parti Bumi Kenyalang (73); Parti Sarawak Bersatu (70); Parti Keadilan Rakyat (28); DAP (26); ASPIRASI (15); Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11); AMANAH (8); Parti Sedar (5); Pas (1) manakala 30 (Bebas).

“Penamaan calon sudah dijalankan di 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak dan hanya dua borang ditolak melibatkan DUN Jemoreng dan Senadin.

“DUN Dudong mencatatkan jumlah penamaan calon terbanyak iaitu sebanyak lapan penjuru,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Iskandar, hari ini.

Abdul Ghani berkata, penolakan calon di DUN Jemoreng berlaku apabila penyokong calon menarik diri menyebabkan penamaan calon tidak lengkap.

Tambahnya, bagi DUN Senadin pula, penamaan calon ditolak apabila calon dan penyokong calon bukan pemilih berdaftar bagi DUN berkenaan.

Sementara itu, SPR menjangkakan sebanyak 70 peratus pengundi akan keluar mengundi manakala keputusan rasmi PRN Sarawak akan diketahui sebelum pukul 12 tengah malam 18 Disember ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here