Program ‘3R On Wheels’ berjaya alihkan 121,000kg sampah kitar semula dari tapak pelupusan

0
41
Mohd. Zain (kanan) menyerahkan plaque kitar semula kepada Hilmi selepas majlis Program Recycle Fest di Malakat Mall Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA – Program ‘3R On Wheels’ telah berjaya mengutip sebanyak 121,000 kilogram (kg) barangan kitar semula di sekitar Lembah Klang.

Dianjurkan sejak tahun 2019, program anjuran Alam Flora Sdn. Bhd. itu bertujuan mengalihkan sisa kitar semula daripada di hantar ke tapak pelupusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, kutipan barangan kitar semula melalui program ini sememangnya diwujudkan sebagai alternatif untuk memudahkan orang ramai menghantar barangan kitar semula tanpa perlu lagi mencari pusat kitar semula.

Operator premis makanan di Malakat mall Cyberjaya (berbaju gelap) selepas menerima bekas simpanan minyak terpakai pada Program Recycle Fest di Malakat Mall Cyberjaya, hari ini.

“Bagaimanapun, keadaan agak perlahan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada Mac 2020 sehingga pertengahan tahun ini.

“(Namun) Apabila sekatan itu dilonggarkan, kami memulakan semula aktiviti ‘3R On Wheels’ termasuk pada program hari ini di Malakat Mall,” kata Mohd. Zain selepas hadir pada majlis Program Recycle Fest di Malakat Mall di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Alam Flora Environmental Solutions Sdn. Bhd. (AFES), Nazar Abdul Raof; dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Eco, Hilmi Ismail.

Kata Mohd. Zain, penganjuran ‘3R On Wheels’adalah salah satu usaha proaktif Alam Flora dalam menyokong hasrat kerajaan untuk melaksanakan pengasingan sisa di punca dan meningkatkan pengalihan sisa, sekaligus menambah aktiviti 3R (Guna Semula, Kurangkan, Kitar Semula) dan memenuhi sasaran kerajaan untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 40 peratus daripada kadar kitar semula menjelang tahun 2025.

“Alam Flora sentiasa proaktif dalam mencari idea baharu seperti ini, bagi menyemai budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat dan menjadikannya sebahagian amalan harian mereka,” katanya lagi.

Selain wang tunai, individu yang menyertai ‘menyerahkan’ bahan buangan kediaman mereka turut menerima mata ganjaran Petronas Mesra.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here