Program Aspirasi Keluarga Malaysia sarat dengan maklumat

0
23
Pengunjung mengikuti pelbagai program seperti seminar dan forum pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di KLCC.

KUALA LUMPUR – Pengunjung Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berakhir malam tadi memuji penganjuran acara itu yang padat dengan maklumat khususnya di reruai kementerian dan agensi kerajaan.

Melalui pengumuman, hebahan dan penyaluran maklumat terkini yang disediakan, pengalaman itu disifatkan pengunjung sebagai pengemaskinian yang baik selepas dua tahun negara ‘terkurung’ akibat pandemik Covid-19.

Pengunjung, Mohd Azraai Md Aznan, 51, berkata, penglibatan daripada kementerian dan agensi serta gerai-gerai pameran menunjukkan ada perancangan yang baik kerana menyediakan maklumat-maklumat terkini.

Beliau yang tiba bersama anak lelakinya, Mohd Asyraaf, 17, pada hari terakhir semalam amat berpuas hati selepas persinggahan di beberapa gerai kementerian dan agensi kerajaan.

“Saya lebih berminat tentang kewangan diri dan keluarga. Jadi saya singgah di ruang pameran Kementerian Kewangan.

“Di pameran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), saya diberi penerangan dan cara-cara membuka akaun untuk anak saya yang masih belum bekerja.

Sementara itu katanya, di pameran Kementerian Pendidikan Tinggi, pelbagai maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian tersedia dan amat rugi jika dilepaskan.

Secara keseluruhannya, Mohd Azraai merasakan penglibatan kementerian dan agensi kerajaan pada program itu sangat membantu terutama untuk mendapatkan maklumat mengenai peranan dan inisiatif yang disediakan kerajaan

“Sekurang-kurangnya melalui booth yang ada, orang ramai yang tidak pernah mengambil tahu mengenai fungsi kementerian dan agensi akan dapat maklumat yang baru,” ujarnya.

Penglibatan agensi-agensi di bawah kementerian yang menawarkan maklumat berguna kepada orang ramai.
Mohd Azraai Md Aznan
Elyn Chew

Bagi penjawat awam, Elyn Chew, 31, penganjuran acara itu tepat pada masa, ketika kerajaan dan rakyat sedang mahu bangkit selepas penutupan lama sektor ekonomi dan sosial.

Katanya, penglibatan semua kementerian dan agensi pelbagai sektor pada program itu dapat menyalurkan maklumat yang menyeluruh yang diperlukan mengikut demografik pengunjung.

“Misalnya dalam sektor pelancongan, banyak maklumat disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk pengunjung merancang percutian mereka.

“Cuma penglibatan pemain industri saya dapati agak kurang. Perlu perbanyakkan gerai mengikut sektor,” katanya anak jati Muar, Johor itu.

Selain itu kata Elyn, penglibatan lebih 100 usahawan dalam program tersebut juga baik untuk usahawan memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai.

Reruai pameran MOTAC pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di KLCC.

Sementara itu, Muhd Ariff Daniel Mohd Daud 24, dari Kuala Selangor mengaku banyak menerima banyak manfaat daripada kunjungannya walaupun terlepas peluang melawat bahagian Karnival Kerjaya yang tamat pada Sabtu lalu.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu berkata, acara itu sepatutnya menjadi ‘destinasi’ pilihan ibu bapa, institusi pengajian dan sekolah sebagai platform yang memberi banyak pendedahan penting.

Justeru, Muhd Ariff mahu supaya kerajaan menganjurkan lebih banyak program seumpama itu pada masa akan datang.

“Pada saya penganjuran acara seperti ini sudah boleh dilakukan cuma pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu tetap perlu kerana ia sudah menjadi norma baharu kita sekarang,” katanya.

Muhd Ariff Daniel Mohd Daud
Karnival Kerjaya yang berlangsung selama tiga hari di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di KLCC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here