Program Jualan Keluarga Malaysia bermula Sabtu ini, tawar harga murah 20 hingga 50 peratus-PM

0
77
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Lembah Pantai.

KUALA LUMPUR – Program Jualan Keluarga Malaysia yang menjual barangan murah dengan potongan harga 20 hingga 50 peratus akan diteruskan sehingga isu kenaikan harga barang selesai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini, program berkenaan akan diadakan dua kali sebulan di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara bermula pada Sabtu ini.

“Setiap Parlimen akan ada program jualan ini yang menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras dan banyak lagi.

“Program jualan ini akan diadakan dua kali sebulan dan disasarkan sehingga Februari depan. Kita tengok jugalah kalau harga tak turun kita akan teruskan, harga akan mula menurun bila kita melambakkan sayur, ikan dan lain-lain. 

“Buat masa ini, kita terpaksa import bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga dapat diturunkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia di Lembah Pantai hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan menyedari isu kenaikan harga yang dihadapi rakyat dan berusaha untuk membantu dengan mengadakan program seperti ini.

Beliau berkata, sebahagian besar yang terbabit dalam Program Jualan Keluarga Malaysia adalah syarikat swasta dan beliau menghargai pembabitan mereka dalam membantu kerajaan meringankan beban rakyat.

“Kerajaan mengalu-alukan agar lebih banyak pihak industri akan tampil bersama-sama dalam Jualan Keluarga Malaysia di lokasi lain yang akan ditentukan. Buat masa ini ada 25 syarikat swasta yang terlibat

“Program jualan ini akan diadakan dari pagi hingga malam dan bergantung kepada lokasi yang ditentukan di setiap Parlimen. Kita akan sesuaikan ikut negeri dan daerah. Sasaran awal kita adalah di kawasan kumpulan B40 dan M40,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau akan mempengerusikan Jawatankuasa Kos Sara Hidup membabitkan KPDNHEP sebagai sekretariat dan kementerian lain yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Pengangkutan untuk untuk melihat permasalahan yang berlaku.

Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri turut menasihatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga tanpa sebab sehingga menyusahkan pengguna.

“Saya dimaklumkan, seramai 2,200 penguat kuasa KPDNHEP sudah diarahkan memantau dan mengambil tindakan ke atas pihak yang tidak beretika menaikkan harga sesuka hati. Kali ini, kita tidak  akan berkompromi, kita akan ambil tindakan,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here