Ribuan serbu kaunter bayaran saman PDRM dan JPJ di KLCC

0
418
Orang ramai mengambil peluang untuk menjelaskan saman PDRM dan JPJ sempena penganjuran Program 100 Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.


KUALA LUMPUR- Ribuan orang ramai menyerbu kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Tinjauan Malakat Tribune mendapati, orang ramai mula beratur sejak pukul 7.30 pagi untuk masuk ke KLCC bagi membuat pembayaran saman PDRM dan JPJ yang menawarkan diskaun sehingga 80 peratus sempena program yang berlangsung bermula hari ini sehingga 12 Disember itu.

Rata-rata yang ditemui juga gembira dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menawarkan diskauan untuk pembayaran saman sekali gus membantu rakyat untuk menjelaskan segala saman tertunggak yang sebelum ini agak tinggi kadar bayarannya.

B. Selvamala

Menurut B. Selvamala, dia datang ke KLCC hari ini semata-mata untuk bayar saman tertunggak sebelum ini, dan menganggap kadar diskaun yang ditawarkan oleh kerajaan itu satu peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh semua orang kerana sangat murah.

“Terima kasih kerajaan kerana bagi tawaran hebat ini, saya datang semata-mata untuk bayar saman. Peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan. Saya harap, orang ramai rebut peluang ini untuk bayar segala saman tertunggak.

“Saya datang awal hari ini, tetapi apabila sampai sudah ramai orang. Beratur juga panjang, saya harap semua dapat patuhi SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan bagi elak penularan Covid-19,” katanya kepada Malakat Tribune.

Mohd Firdaus Mohd Tahir

Selain itu, Mohd Firdaus Mohd Tahir berkata, diskauan sehingga 80 peratus bermula hari ini memang dinanti-nantikan oleh rakyat kerana mungkin sebelum ini ada yang rasa terbeban untuk jelaskan saman tanpa diskaun.

“Satu inisiatif yang bagus untuk bantu rakyat, saya harap selepas ini akan ada lagi diskaun seperti ini. Macam saya, saya dapat pengurangan saman yang banyak. Alhamdulillah apabila dapat diskaun boleh bayar semua,” katanya.

Azura Ahmad

Sementara itu, Azura Ahmad berkata, dia sudah membuat semakan saman dan mendapat diskaun yang sangat rendah untuk dibayar hari ini.

“Saya sudah semak dan ada dapt diskaun, hari ini saya datang untuk jelaskan semua. Apabila ada peluang sebegini, rugi jika kita tidak manfaatkan,” katanya.

Mohamad Alif Danish Sazali

Dalam pada itu, Mohamad Alif Danish Sazali berkata, inisiatif pemberian diskaun ini akan mendekatkan lagi rakyat dengan kerajaan kerana keprihatinan kerajaan itu dirasai golongan bawahan.

“Bagi saya, tindakan kerajaan ini sangat bagus. Bagaikn satu jambatan antara kerajaan dan rakyat. Sebelum ini kalau tengok jumlah saman terkumpul, pening kepala juga mahu bayar.


“Tetapi, apabila ada diskauan sebegini kita boleh menarik nafas lega. Macam saya, saya sebelum ini semak jumlah kena bayar kira-kira RM2,000 tetapi selepas diskaun hari ini, saya hanya perlu bayar beberapa ratus sahaja” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here