Sample 306 kes positif pengembara luar berkemungkinan Omicron

0
18
Khairy Jamaluddin

CYBERJAYA – Sebanyak 306 sampel kes positif Covid-19 hasil ujian dijalankan dalam kalangan pengembara yang memasuki negara ini berkemungkinan adalah varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada ujian ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap 366 sampel kes positif pengembara yang masuk ke negara ini antara 21 hingga 25 Disember lalu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 306 telah menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh.

“Apabila selesai ujian ini, kita akan umumkan jumlah yang disahkan melibatkan varian Omicron dan juga butiran mengenai negara pengembara,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Selain itu katanya, KKM juga giat melakukan ujian PCR kepada kontak rapat mereka yang disahkan positif Covid-19 dari varian tersebut.

“Usaha ini sedang dilakukan di lapangan supaya penularan Omicron ini dapat kita kawal melalui pengasingan, ujian dan sebagainya,” katanya.

Khairy berkata, ekoran penularan varian Omicron yang dikesan berasal dari banyak negara, kerajaan telah menamatkan sekatan pengembara dari lapan negara iaitu
Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Zimbabwe, Mozambique dan Malawi.

“Negara-negara tersebut kini disenaraikan sebagai negara berisiko tinggi menjadikan jumlah negara yang berisiko tinggi kini adalah 18 buah.

“Sekatan ke atas negara-negara Afrika itu tidak lagi ‘masuk akal’ kerana Omicron kini menular dari pelbagai negara,” katanya.

Sepuluh negara lain yang berada dalam senarai berisiko tinggi itu adalah United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia
Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India, Kanada dan Nigeria.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here