
KUALA LUMPUR – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah terbabit adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, meskipun menerima dengan hati terbuka keputusan itu, pihaknya tetap akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.
“Walaupun kalah di peringkat Mahkamah Tinggi, kita akan merancang dengan pasukan peguam untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan pula.
“Ini bermakna, perjalanan kita masih panjang dan banyak lagi kerja yang kita perlu dan akan lakukan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak saman yang dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata penggunaan bahasa lain selain Bahasa Malaysia tidak bertentangan dengan perlembagaan kerana sekolah vernakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengucapkan terima kasih kepada semua, terutamanya para peguam yang berusaha keras dalam kes itu.
Katanya, pihaknya tidak akan berputus asa untuk berusaha menjayakan agenda ke arah sekolah satu aliran kebangsaan.-MT