Senator bawa suara penduduk Presint 8 ke Dewan Negara, kecewa kelulusan pembinaan surau tertangguh

0
43
Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang meminta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berhubung status pembinaan surau di Presint 8 Putrajaya.

PUTRAJAYA – Penduduk di Presint 8 di sini kecewa dengan jawapan kerajaan berhubung status pembinaan Surau Intifaqiyyah di kawasan berkenaan yang telah ‘tergantung’ sekian lama.

Mereka juga berharap kerajaan dapat menimbang semula keputusan kerajaan melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang tidak meluluskan pembinaan surau berkenaan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memaklumkan MAIWP hanya akan meneruskan projek sedia ada dan tiada projek pembangunan baharu.

Idris berkata, MAIWP melalui Jawatankuasa Baitulmal pada 16 April 2018 sudah meluluskan peruntukan RM6.5 juta untuk membiayai projek pembinaan surau itu (Surau Intifaqiyyah di Presint 8).

Walaubagaimanapun katanya, pembangunan projek tersebut telah ditangguh selaras dengan Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan JAWI-MAIWP pada 6 Jun 2018.

“Mesyuarat tersebut memutuskan supaya semua projek-projek baharu yang masih belum dimulakan perlu ditangguhkan untuk tempoh lima tahun.

“Keputusan ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 12 September 2012 yang memutuskan MAIWP perlu memberi keutamaan pembelanjaan zakat terhadap asnaf, fakir miskin dan mualaf berbanding asnaf fisabilillah,” katanya di Dewan Negara.

Projek pembinaan surau di Presint 8 sebelum ini hasil usaha Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah ditangguhkan selepas pemerintahan kerajaan PH.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang meminta penjelasan sama ada kerajaan hari ini sanggup memulangkan semula dana RM6.5 juta yang diluluskan sebelum ini untuk pembinaan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Idris berkata, jawatankuasa  perundinhgan hukum syarak juga berpendirian bahawa keutamaan perbelanjaan hendaklah ditumpukan kepada agihan zakat kepada golongan asnaf yang telah ditetapkan.

Selain itu katanya, bagi pembangunan infrastruktur seperti pembinaan masjid dan tanah kubur sewajarnya dipohon daripada peruntukan kerajaan persekutuan. 

Oleh yang sedemikian katanya, MAIWP hanya meneruskan projek yang sedia ada dan tiada projek pembangunan baharu akan dibangunkan dengan menggunakan peruntukan zakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here