Sesi persekolahan penggal ketiga ditangguhkan seminggu

0
99
Datuk Dr. Radzi Jidin

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Januari dan 3 Januari 2022 ditangguhkan seminggu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, mengambil kira situasi banjir ketika ini, sesi persekolahan akan bermula pada 9 Januari dan 10 Januari bagi kumpulan A dan kumpulan B. 

“Seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini, sesi persekolahan penggal ketiga akan dibuka bermula 2 Januari 2022 bagi kumpulan A dan 3 Januari bagi Kumpulan B.

“Bagaimanapun, mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid-murid, ibu bapa, guru dan juga sekolah yang dijadikan PPS dan sekolah terjejas teruk.

“KPM telah membuat keputusan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 akan ditangguhkan selama seminggu. Sekolah akan bermula 9 Januari bagi kumpulan A dan 10 Januari bagi kumpulan B.

“Makluman mengenai hal ini akan dikeluarkan menerusi kenyataan media sebentar lagi,” kata Radzi menerusi video ringkas yang dimuat naik ke laman Facebooknya hari ini.

Menurut Radzi, KPM amat cakna dan prihatin dengan kebajikan murid-murid, ibu bapa serta guru yang berdepan tempoh sukar ketika ini.

“Kita faham, mereka perlukan masa untuk kembali siapkan keperluan sebelum dapat mulakan sesi persekolahan bagi oenggal ketiga, kita doakan yang terbaik untuk mangsa banjir di seluruh negara.

“Sebarang keputusan yang dibuat KPM, kita komited untuk ambil berat keadaan murid-murid, ibu bapa dan juga guru-guru,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here