
CYBERJAYA – Program penggantian helikopter Nuri bermula secara tidak rasmi apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengumumkan penyewaan empat buah helikopter Leonardo AW139, baru-baru ini.
Menurut Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad, penyewaan ini merupakan satu ‘langkah jangka pendek’.
“Untuk jangka pendek (program penggantikan helikopter Nuri), telah diluluskan oleh kerajaan iaitu penyewaan empat helikopter jenis AW139 selama empat ke lima tahun.
“Ia akan diperoleh TUDM dalam masa terdekat,” kata Jeneral Ackbal.
Bagaimanapun, Jeneral Ackbal tidak memberitahu helikopter itu disewa daripada syarikat mana.
Helikopter Sikorsky S-61A atau ‘Nuri’ ditamatkan perkhidmatannya pada tahun lepas selepas lebih 50 tahun berkhidmat dengan tentera udara.
Antara pengguna sedia ada helikopter AW139 adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Maritim Malaysia dan terbaharu adalah, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Laporan media terdahulu menyebut, TLDM memperoleh tiga buah helikopter versi maritim (HOM) dengan penghantaran pertama dijangka bermula akhir tahun ini.