Singapura kesan kes ketiga jangkitan varian Omicron

0
15
GAMBAR HIASAN

SINGAPURA – Pihak berkuasa Singapura mengesan kewujudan satu lagi kes jangkitan Covid-19 varian Omicron di negara.

Laporan Bernama menyebut, mangsa yang semakin pulih itu sedang menjalani rawatan di wad pengasingan Pusat Penyakit Berjangkit Nasional (NCID).

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam kemas kini harian mengenai Covid-19 malam tadi, kes yang dilabel sebagai Kes 273611 itu melibatkan seorang lelaki pemastautin tetap Singapura berusia 37 tahun yang tiba di negara pulau itu dari Afrika Selatan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Dis.

“Beliau sudah lengkap divaksin, dan mempunyai simptom tidak ketara dengan demam dan sakit tekak.

“Beliau juga tidak berinteraksi dengan masyarakat, dan pada masa ini tiada bukti penularan komuniti daripada kes itu,” kata kenyataan itu.

Ujian Cpvid-19 lelaki itu sebelum berlepas dari Johannesburg pada 29 Nov adalah negatif.

Setibanya di Singapura, beliau dikuarantin di kemudahan khusus Notis Duduk Rumah (SHN), dan ujian tindak balas rantai polimerase pada 1 dan 3 Dis menunjukkan keputusan negatif.

Namun, pada 4 Dis, pesakit mula mengalami demam dan sakit tekak dan dihantar ke NCID, dan ujian awalnya menunjukkan positif bagi varian Omicron.

“Makmal Kesihatan Awam Nasional sedang menjalankan penjujukan genom keseluruhan untuk mengesahkan varian itu,” kata MOH.

Tambah kenyataan itu lagi, beliau berada dalam penerbangan yang sama dengan dua kes Omicron sebelum ini, Kes 271487 dan 271958, yang dikesan sebagai jangkitan pertama varian itu di Singapura.

Singapura pada 2 Dis melaporkan dua kes import Covid-19 yang menunjukkan keputusan positif pada ujian awal untuk varian Omicron dengan keputusan ujian pengesahan belum selesai.

Kesemua 18 penumpang lain dalam penerbangan itu telah diuji negatif untuk jangkitan Covid-19 dan dikuarantin di kemudahan SHN yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here