
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri malam ini hadir ke Majlis Malaysia Berzikir Ambang 2022 di Masjid Putra, Putrajaya.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali.
Selepas menunaikan solat Maghrib, Perdana Menteri bersama jemaah menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Salahuddin Ghozali.
Seterusnya, para jemaah turut mengalunkan zikir munajat yang dipimpin oleh ketua kumpulan nasyid terkenal Hijjaz, Munif Ahmad.
Program selama hampir sejam itu berakhir dengan lantunan doa munajat yang penuh syahdu diketuai oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan.
Majlis penutup tahun 2021 itu dianjurkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan YADIM bagi menggantikan sambutan Ambang Tahun Baharu 2022 lewat malam ini.