SOP ketat sempena Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia

0
12
Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA – Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, SOP ketat sepnjang program selama empat hari itu bagi mengelak penularan Covid-19.

Datuk Rodzi Md Saad

“Kita ingin pastikan program selama empt hari bermula 9 hingga 12 Disember itu tidak mendatangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia hari ini.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri itu menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan.

Menurut Rodzi, antara SOP yang akan dilaksanakan adalah mengehadkan bilangan pengunjung kepada 10,350 orang sahaja pada satu-satu masa berbanding kapasiti sebenar di KLCC itu iaitu melebihi 20,000 orang.

Katanya, penganjur juga diminta untuk pastikan wujud penjarakan fizikal sepanjang program berlangsung.

Selain itu katanya, sempena perasmian program oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Khamis ini, kehadiran dihadkan kepada 272 individu bersama 11 orang kenamaan utama sahaja.

“Kehadiran pada majlis perasmian ini tidak melebihi 300 individu berbanding kapasiti asal dewan yang mampu memuatkan 2,000 orang. Ini setelah kita mengambil kira penjarakan fizikal dan susunan kerusi di lokasi majlis berlangsung,” katanya.

Sementara itu katanya, pengunjung perlu lengkap vaksinasi Covid-19 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dibenarkan masuk dengan syarat ibu bapa atau penjaga lengkap vaksinasi.

“Sistem pengudaraan di lokasi program perlu berada dalam keadaan baik, hanya makanan dalam ‘pack food’ dibenarkan, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan melakukan sanitasi pada pukul 11 malam setiap hari.

“Sekiranya ada kes positif COVID-19 di lokasi majlis, tindakan sanitasi akan segera dilaksanakan dan MKN kemudian akan merujuk pakar kesihatan untuk tindakan susulan,” katanya.

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia akan berlangsung selama empat hari di KLCC bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam.

Antara program menarik yang disediakan adalah Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia serta diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here