SRC: Najib arah barisan peguam kemuka rayuan ke Mahkamah Persekutuan, ulangi sumpah laknat tidak bersalah

0
137
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan pasukan pembelaannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Najib hari ini juga sekali lagi lagi mengulangi lafaz sumpah laknat bahawa beliau tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd International Berhad.

Najib dalam sidang media secara dalam talian menegaskan bahawa beliau tidak mengetahui, meminta dan mengarahkan wang RM42 juta dipindahkan ke akaun peribadi miliknya.

“Soal pokok dalam kes SRC ini berkisar kepada jumlah RM42 juta yang dipindahkan ke akaun peribadi saya.

“Sebagai seorang yang beragama Islam saya nak menyatakan Wallahi Wabilahi Wattawallahi… bahawa saya tidak tahu, saya tidak minta, saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan RM42 juta itu ke akaun peribadi saya,” katanya.

Sidang media Najib turut disertai peguam beliau, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib seperti yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas.

Dalam sidang media itu, Najib turut menyatakan kekecewaannya terhadap ulasan hakim bahawa apa yang berlaku telah mengaibkan negara.

“Saya sangat kecewa dengan itu (ulasan hakim),” ujar Najib.

Najib turut mengambil kesempatan memaklumkan, sepanjang menjadi Perdana Menteri, sudah banyak kejayaan yang dilakukannya untuk Malaysia termasuk menyediakan aset negara berjumlah RM2 trilion.

“Jika anda bercakap mengenai aib negara, ada isu skandal lain seperti forex (tukaran mata wang asing) yang menyebabkan negara kerugian RM31 bilion. Bukankah itu jauh lebih besar,” tegas Najib lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here