Sultan Perak terima serahan zakat bernilai RM7.8 juta

0
19

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM6 juta kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima serahan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7.8 juta daripada enam syarikat korporat.

Bayaran zakat tersebut dibuat kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam masjlis yang diadakan di Istana Perak, Bukit Changkat Persekutuan hari ini.

Penyerahan itu didahului Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din dengan jumlah bayaran zakat perniagaan RM6 juta.

Ia diikuti Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad yang diwakili Ahli Jawatankuasa Syariahnya, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman dengan jumlah zakat perniagaan RM775,000. 

Sementara itu, FGV Holdings Berhad diwakili Pengerusi Kumpulannya, Datuk Dzulkifli Abd Wahab menyerahkan zakat perniagaan RM577,752.

Turut menunaikan zakat perniagaan adalah Angkatan Koperasi Kebangsaan (M) Berhad (Angkasa) berjumlah RM221,105 yang diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Perak, Mohd. Rosli Basri.

Ia kemudian diikuti GiTN Sdn. Bhd. yang diserahkan oleh Ketua Perkhidmatan dan Pengurusan Korporatnya, Norfaizah Mohd. Puad dengan zakat berjumlah RM140,000.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Orang Kaya Tun Bendahara Seri Maharaja Perak, Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin, Ahli Majlis MAIPk, Prof. Datuk Dr. Ansary Ahmed dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here