Sumbangan mangsa banjir di SadaqahMarket kini berjumlah RM30,000

0
35
Ujian saringan Covid-19 kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara kampus utama Brainy Bunch di Cyberjaya.

CYBERJAYA – Jumlah terkumpul tabung mangsa-mangsa banjir yang berjaya dikumpul oleh Kumpulan Malakat Eco dan Yayasan Brainy Bunch setakat hari ini berjumlah kira-kira RM30,000.

Tabung sumbangan banjir melalui platform SadaqahMarket.com yang mula dibuka pada Ahad lalu itu mensasarkan kutipan RM100,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Malakat Eco, Hilmi Ismail berkata, walaupun kutipan untuk tabung mangsa-mangsa banjir ini masih jauh dari sasaran, kami akan segera menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat banjir.

“Kami percaya walaupun keadaan mula reda, keperluan untuk mangsa-mangsa banjir ini semakin mendesak terutama di kawasan yang masih tiada bekalan air dan elektrik.

“Mereka juga memerlukan bantuan wang tunai untuk mengganti peralatan asas di rumah yang musnah ditenggelami air.

“Tabung ini masih lagi dibuka dan kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dan pihak swasta,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Hilmi berkata, misi bantuan Yayasan Brainy Bunch dan Malakat Eco yang masuk hari keempat hari ini diteruskan dengan menghantar bantuan di beberapa kawasan terjejas.

“Sejak beberapa hari lalu pasukan kami telah menghantar bantuan di kawasan seperti Bukit Changgang, Labohan Dagang dan beberapa kawasan di Puchong. Hari ini kami akan ke Bestari Jaya,” katanya.

Hilmi Ismail
Hilmi Ismail

Hilmi memaklumkan, jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan sementara di kampus utama Brainy Bunch kini berjumlah 95 orang.

“Buat masa ini dianggarkan masih ada 80 orang mangsa banjir dari kawasan sekitar iaitu Banting, Shah Alam dan Puchong. Selebihnya adalah warga kerja termasuk guru Brainy Bunch yang turut terkesan dalam bencana kali ini,” katanya.

Ujian saringan Covid-19 kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara kampus utama Brainy Bunch di Cyberjaya.

Menurut Hilmi, sebagai langkah pemantauan dan pencegahan penyakit berjangkit, pihaknya turut mengadakan ujian saringan Covid-19 kepada semua mangsa banjir yang menginap di Brainy Bunch.

Katanya, ujian terhadap 80 mangsa banjir itu mendapati semua negatif daripada Covid-19.

“Semalam kami mengadakan ujian saringan RTK kepada semua mangsa banjir dan syukur tiada yang positif Covid-19.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang menaja kos bagi ujian saringan kali ini,” katanya.

Selain ujian Covid-19, mangsa juga diberikan pemeriksaan kesihatan percuma dan bekalan ubat-ubatan yang diperlukan terutama kepada mereka yang terputus bekalan sejak banjir pada Jumaat lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here