Suspek kes tikam mangsa mahu ke solat Jumaat positif dadah

0
72

CYBERJAYA – Dua suspek yang ditahan susulan kejadian seorang kontraktor mati ditikam sewaktu mahu ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat di Pandamaran, Klang pada 10 Disember lalu didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an merupakan kenalan mangsa yang berusia 69 tahun.

“Kedua-dua individu itu yang mana suspek utama seorang penganggur dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan hasilnya disahkan positif dadah jenis metaphethamine.

“Polis kini sedang menyiasat bagi mengenalpasti motif utama suspek menikam dan membunuh mangsa.

“Kes masih berjalan dan polis akan mengesan motif suspek membunuh mangsa yang merupakan kenalannya,” kata Mazlan kepada portal Malaysia Gazette selepas hadir merasmikan Mess Pegawai Kanan ibu Pejabat Kontinjen Selangor, hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan bertarikh 10 Dis , Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa telah ditikam dari arah belakang oleh suspek.

Mangsa yang rebah di depan rumah disahkan meninggal dunia dan tidak sampai empat jam insiden itu berlaku, polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki di kawasan Klang dan seorang lagi rakannya di Shah Alam.

“Suspek utama dalam kes ini mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu satu rekod jenayah dan dua rekod dadah manakala senjata pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa telah ditemukan.

“Dengan penangkapan kedua-dua suspek ini, kes ini telah berjaya diselesaikan hanya dalam masa lebih kurang empat jam,” tambah Mazlan lagi.

Kesemua suspek direman selama 7 hari hingga 17 Dis depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here