
CYBERJAYA – Tempoh sela masa pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 bagi penerima dos lengkap vaksin Pfizer dan AstraZeneca dipendekkan kepada 3 bulan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan memendekkan sela masa daripada enam bulan itu diambil berdasarkan kajian data real world dan The Real-World Evaluation of Covid-19 Vaccines Under the Malaysia National Covid-19 Immunisation Programme (RECoVaM).
“Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 adalah berkurangan dengan masa.
“Data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan peningkatan penularan jangkitan, kebolehupayaan pengikatan virus yang lebih tinggi dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi daripada imuniti yang disebabkan oleh vaksin atau jangkitan semula jadi,” kata Khairy Jamaluddin dalam satu sidang akhbar, sebentar tadi.
Beliau kemudiannya menjelaskan, keputusan itu juga sejajar dengan keputusan badan regulatori lain di United Kingdom (UK), Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan yang mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima vaksin primer.
“Temujanji pengambilan dos penggalak bagi penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca akan dikemas kini menerusi aplikasi MySejahtera.
“Turutan temujanji adalah berdasarkan keutamaan, mengikut turutan umur dan status kesihatan penerima,” kata Khairy Jamaluddin lagi.