Terima ‘kontrak’ simbah cat merah dalam Facebook, 3 ditahan polis

0
50
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Tiga lelaki yang mendakwa menerima upah untuk menyimbah cat dan melakukan ugutan bagi pihak ah long di sebuah rumah di Taman Medan Baru, Petaling Jaya berjaya ditahan polis.

Suspek ditahan pada 23 November lalu bagi membantu siasatan selepas mengaku menerima ‘kerja’ itu melalui satu tawaran di laman Facebook, tiga hari sebelum ditahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berusia 21 tahun itu ditahan di kawasan parkir sebuah kediaman di Cheras.

“Siasatan awal mendapati mereka mengaku terlibat dalam kes tersebut. Polis turut merampas empat buah telefon bimbit pelbagai jenama,”katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Katanya, suspek mendedahkan mereka mendapat tawaran pekerjaan tersebut melalui iklan di Facebook dan menghubungi seorang lelaki warga tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Setelah berhubung dengan seorang lelaki berkenaan suspek telah diarahkan menyimbah cat ke alamat yang diberikan.

“Mereka telah dibayar sebanyak RM500 selepas menghantar rakaman video mereka menyimbah cat tersebut kepada lelaki berkenaan,” katanya.

Sebelum itu, polis menerima satu laporan polis oleh seorang lelaki berusia 35 tahun mengenai kejadian rumah sewanya telah disimbah cat merah.

“Selain itu, terdapat satu nota yang mengugut mangsa supaya membayar hutang jika tidak mahu rumahnya akan dibakar.

“Nota tersebut turut mengandungi nama dan nombor kad pengenalan seorang lelaki berusia 28 tahun,” katanya.

Semua suspek itu ditahan reman selama tiga hari dan telah dilepaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan penyiasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here