Tiada lagi sistem penggiliran untuk murid Tahun 1,2,6 apabila sekolah dibuka – Radzi

0
681
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan semua murid prasekolah, Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 6 perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran bagi penggal ketiga persekolahan 2021/2022.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, selain itu murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan semua murid di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

Katanya, semua ketetapan itu turut terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM.

“Bagi MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Murid kelas peralihan, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan kumpulan murid tersebut di institusi berkenaan telah mencapai 90 peratus atau lebih.

“Pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih kekal secara penggiliran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, KPM akan mengeluarkan senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap hari Rabu.

Beliau berkata, mana-mana institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut dan institusi boleh mula beroperasi pada hari Ahad/Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran.

“Sementara itu, bagi murid Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula, kehadiran adalah secara penggiliran.

“Semua ketetapan ini terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah menengah KPM,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, bagi sekolah yang mempunyai enrolmen kurang daripada 300 murid termasuk sekolah ekspatriat, perlu beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.

Katanya, bagi murid sekolah berasrama penuh untuk Tingkatan 4 hingga 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara perlu hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

Bagaimanapun, untuk murid Tingkatan 1 hingga 3 di sekolah berasrama sepenuhnya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan jika pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai.

“Selain itu, sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah, ketidakhadiran tersebut tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

“Namun, ibu bapa dan penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here