
CYBERJAYA – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menegaskan tiada sebarang aktiviti pembalakan berlaku di dalam Hutan Simpan Lentang seperti dakwaan pelbagai pihak susulan berlakunya banjir lumpur dan kayu balak hanyut ketika banjir besar di Bentong, Pahang baru-baru ini.
Menurut JPNP dalam satu kenyataan, semakan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku disebabkan kejadian kepala air yang bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat yang berterusan selama tiga hari bermula 16 Disember hingga hari kejadian banjir besar di Bentong pada 18 Disember lalu.
“Ini disokong dengan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan Dan Saliran Daerah Bentong yang mencatatkan bacaan purata 155 mm pada 18 Disember lalu, di mana bacaan hujan ini dikategorikan sebagai sangat lebat.
“Semakan di kedua-dua lokasi iaitu Jalan Bentong – Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak dan Jambatan Sri Telemong mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan merupakan sisa debris daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lalu.
“JPNP telah turut membuat semakan melalui udara menggunakan drone dan mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada di dalam Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik di kedua-dua lokasi,” katanya dalam satu kenyataan
Mengulas lanjut, JPNP juga mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah mahupun pembalakan haram sepertimana yang ditularkan oleh orang awam melalui media sosial.
Jelasnya, hutan simpan itu telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air semenjak tahun 2002 di mana aktiviti pembalakan adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam kawasan itu.
Tambahnya, kawasan seluas 30 hektar kawasan hutan simpan itu di Sungai Kerau telah dijadikan sebagai petak High Conservation Value Forest (HCVF) semenjak tahun 2012.
Katanya, HCVF merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan.
“Kejadian kepala air di kedua-dua lokasi yang dinyatakan di atas tiada kena-mengena sama sekali dengan aktiviti pembalakan di Tanah Kerajaan Sungai Gapoi sepertimana yang ditularkan, kerana jarak kawasan ini adalah sejauh 16 km daripada Jambatan Sri Telemong dan 23 km daripada Jalan Bentong-Karak berhampiran Stesen Timbang JPJ Karak.
“Tinjauan di lokasi pada hari ini mendapati air Sungai Gapoi adalah jernih dan tiada kesan kepala air.
“Fenomena yang berlaku ini hampir sama seperti apa yang berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai, Kedah pada bulan Ogos 2021 lepas,” katanya.
Susulan kejadian itu, JPNP mencadangkan supaya kawasan tanah kerajaan yang tidak diusahakan, yang bersempadan dengan hutan simpan itu di sungai-sungai tersebut khususnya di kawasan yang telah berlaku bencana diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal dibawah Seksyen 10 APN 1984.
Katanya, ia agar kerja-kerja pemulihan seperti penghutanan semula dapat dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seperti ini tidak berlaku di masa hadapan.-MT