Tiada sasaran untuk Program Malaysia Rumah Keduaku

0
26


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak meletakkan sebarang sasaran peserta yang diterima menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan akan memastikan mereka yang dibenarkan memasuki negara ini adalah yang berkualiti.

Hamzah berkata, kerajaan juga akan melihat semula program berkenaan agar setiap peserta yang diterima mempunyai tujuan sama iaitu untuk memajukan negara.

“Dahulu mereka (peserta MM2H) yang ada ini dengan pendapatan hanya RM2,000 tetapi pinjam duit sana sini, dengan hanya ada RM250,000 boleh duduk Malaysia sampai 10 hingga 15 tahun.

“Kita tidak mahu itu, kita mahu mereka berkualiti kerana negara kita memberikan banyak subsidi, jadi kalau orang nak duduk negara kita ini sebenarnya tak perlukan subsidi, dia hanya perlu bersama kita memajukan negara,” katanya dalam perbahasan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan  Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Hisamudin Yahaya berhubung program MM2H itu adakah kerajaan mempunyai sasaran tertentu untuk menerima peserta luar negara. 

Sebelum ini, Hamzah memberitahu, peserta baharu program MM2H perlu mematuhi dasar baharu bagi memastikan hanya yang berkualiti dan sah serta memberi sumbangan pertumbuhan ekonomi dibenarkan menetap di negara ini.

Namun, kata beliau, kerajaan sedia mempertimbang memberi kelonggaran kepada peserta MM2H sedia ada dari syarat dan dasar yang ditetapkan sebelum ini termasuk keperluan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta.

Selainitu, jelas Hamzah, pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak selain perlu membuat pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta dan pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan serta lain-lain keperluan syarat ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here