Tindakan tegas terhadap sekolah sembunyi kes buli

0
30
Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana sekolah yang menyembunyikan kes buli dan berjanji akan mengenakan tindakan tegas dan setimpal.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu itu termasuk menyediakan sistem laporan yang membolehkan pihak sekolah membuat laporan berkaitan kes buli.

“Kita sedar kes buli sudah lama berlaku, sebab itu kita wujudkan sistem pelaporan untuk tujuan pemantauan dan tindakan.

“Kementerian juga sedang melihat secara menyeluruh, bagaimana pendekatan yang boleh kita laksanakan iaitu memperkukuhkan pemantauan oleh warden di asrama,” katanya pada sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) mengenai tindakan dan pendirian KPM terhadap pengurusan atau pentadbir institusi pendidikan yang terlibat dalam kes buli.

Menurut Radzi, kerajaan melalui kerangka baharu yang diwujudkan untuk menangani masalah itu memberi tumpuan kepada empat komponen iaitu kesedaran, laporan, hukuman dan pemantauan.

Dalam konteks penyedaran, KPM akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera yang bertujuan memupuk dan menerapkan nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah termasuk murid.

“Nilai ini diterap dan dididik oleh guru secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

“Ini bagi memastikan murid benar-benar dapat menghayatinya, seterusnya menjadi sebahagian daripada amalan dalam kehidupan mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah,” katanya.


Berhubung penghukuman di peringkat sekolah, Dr. Radzi berkata, KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Iktisad (SPI) yang menyentuh mengenai hukuman terhadap pelaku buli di sekolah atau asrama.

Katanya, KPM sedang meneliti hukuman ke atas murid yang melakukan perbuatan buli dengan membuat penambahbaikan pada mana-mana hukuman yang tersenarai dalam SPI itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here